KOTA KINABALU: Seramai 42,808 calon berdaftar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di 324 pusat peperiksaan seluruh Sabah bermula hari ini hingga 17 Disember depan.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, seramai 13,291 petugas peperiksaan turut dilantik bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaan peperiksaan berjalan lancar.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 37,629 merupakan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Diikuti 3,342 calon persendirian, 1,226 calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 448 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan 163 calon sekolah agama negeri.
Katanya, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi membantu calon membuat persediaan menghadapi peperiksaan, termasuk sumbangan alat tulis dan penyediaan jamuan makanan.
“Kami turut bekerjasama dengan ibu bapa, guru dan unit kaunseling sekolah bagi membantu pelajar membuat persediaan serta memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena tinjauan pelaksanaan SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, di sini, hari ini.
Abidin berkata, kesungguhan calon membuat persediaan termasuk mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam dan bangun awal pagi wajar dihargai.
“Diharapkan semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang dan bersedia, selain berusaha memperoleh keputusan cemerlang,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan calon supaya melakukan yang terbaik dan menerima apa juga keputusan dengan hati terbuka selepas berusaha bersungguh-sungguh.
Dalam pada itu, calon diingatkan supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai tarikh, waktu, kod kertas serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
Jadual waktu peperiksaan SPM 2026 boleh dimuat turun menerusi portal rasmi Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.
Calon juga perlu membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.