Warga asing kena jel 10 tahun amang seksual anak jiran

LAHAD DATU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki warga asing selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya yang berusia 10 tahun, tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla terhadap lelaki warga Filipina berusia 53 tahun selepas menerima pengakuan salahnya terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini, 23 November 2026.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah pondok di sebuah kampung dalam kawasan FELDA Desa Kencana, kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai tahun lalu.

Mangsa yang juga anak jiran tertuduh ketika kejadian berusia 10 tahun.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Desa Kencana pada 29 Ogos 2025 selepas mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa perbuatan seksual tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain, mengambil kira keseriusan kesalahan serta kepentingan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu hukuman diringankan dengan memaklumkan bahawa dia sudah berusia, menyesali perbuatannya dan sudah bertaubat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh penahanan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh juga diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.