Jentera berat Hitachi musnah terbakar di Tuaran

TUARAN: Sebuah jentera berat jenis Hitachi musnah sepenuhnya dalam kebakaran di sebuah premis Sriham Hardware Trading Sdn. Bhd. di Kampung Bakut, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.51 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 9.51 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari balai digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.06 pagi, kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah jentera berat jenis Hitachi yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan air yang diperoleh daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Katanya, selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi punca bahaya yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.40 pagi,” jelasnya.