KOTA KINABALU: Koperasi di Sabah digesa meneroka pasaran luar negeri dan memperluas jaringan kerjasama strategik bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan serta meningkatkan daya saing masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi tidak seharusnya bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu bijak mencari rakan strategik bagi meneroka peluang perniagaan baharu.
Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, perladangan, pertanian, perikanan dan peruncitan yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama antara koperasi.
“Itu sebabnya kita menggalakkan korporasi, jangan mereka bergerak secara silo.
“Mereka kena bijak mencari rakan-rakan strategik mereka untuk mendapatkan lebih banyak peluang-peluang baru ini.
“Jangan hanya mereka berada di Sabah saja. Kalau boleh tembusi pasaran di luar Sabah. Sama-sama kita manfaatkan kelebihan yang ada pada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program CEO Talk “Berani Berubah, Berani Maju: Resepi Kepimpinan Transformasi Koperasi” anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Koperasi Pelayaran Sabah turut menunjukkan contoh kerjasama strategik apabila membuka peluang kepada koperasi lain di Sabah dan Semenanjung Malaysia untuk meneroka pelbagai aktiviti perniagaan bersama.
Katanya, kerjasama antara koperasi, agensi berkaitan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuh bagi memperluas akses kepada peluang perniagaan serta pembangunan gerakan koperasi.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga akan memperhebat kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MINDET).