PH Sabah sokong pendirian Hajiji, kerjasama GRS, BN dan PH perlu diteruskan demi kestabilan politik

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor supaya kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH dalam kerajaan negeri diteruskan demi memastikan kestabilan politik Sabah.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan negeri dan Persekutuan meneruskan usaha melaksanakan projek serta menyediakan perkhidmatan yang diperlukan rakyat.

Menurutnya, antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian ialah memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, selain memperbaiki jalan raya serta memastikan projek tebatan banjir disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan Sabah dan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan impak positif kepada negeri ini.

Katanya, pemberian khas interim Sabah bagi 2026 telah dinaikkan kepada RM1.5 bilion, manakala hak 40 peratus Sabah terus diperakui untuk diselesaikan mengikut peruntukan Perlembagaan.

Mustapha berkata, kesediaan Hajiji meneruskan kerjasama antara GRS, PH dan BN mencerminkan komitmen Ketua Menteri itu dalam menyatukan rakan-rakan yang mempunyai perbezaan pandangan politik.

Menurutnya, pendirian berkenaan memperlihatkan kepentingan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan meskipun landskap politik negeri semakin dinamik.