Menteri Sabah cedera kepala tergelincir di tandas KLIA

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di dalam tandas berhampiran ruang menunggu VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar apabila permukaan lantai yang licin menyebabkan beliau terjatuh sebelum kepalanya terhentak ke lantai.

Jamawi berkata, kecederaan itu menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan rawatan di Menara Medical Clinics KLIA, termasuk menjalani prosedur jahitan pada bahagian kepala yang luka.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat klinik berkenaan atas tindakan pantas memberikan rawatan.

“Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, beliau turut menasihatkan pihak pengurusan Malaysia Airports supaya mengambil langkah penambahbaikan terhadap permukaan lantai tandas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA disediakan, selain latihan diberikan kepada kakitangan lapangan terbang bagi membolehkan bantuan awal kecemasan dilaksanakan dengan segera.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, beliau akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari ini selepas menempuh perjalanan jauh dari Brasilia, Brazil, menerusi Sao Paulo dan Doha sebelum tiba di KLIA.

Beliau turut menghargai keprihatinan Tan Sri Annuar Musa, Datuk Yusuf Apdal serta rakan-rakan lain yang menghubunginya selepas melihat keadaan beliau dengan kepala berbalut tuala berdarah di KLIA pagi tadi.

Katanya, beliau amat menghargai keprihatinan semua pihak yang menghubungi dan bertanyakan khabar susulan kejadian berkenaan.