KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) dicabar menjelaskan pendiriannya berhubung isu pencerobohan tanah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, sama ada status sebagai rakyat Malaysia atau anak jati Sabah membolehkan seseorang menduduki tanah tanpa kebenaran pemilik.
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Sabah (DAPSY Sabah), Thien Ee Hang, berkata isu berkenaan sepatutnya dilihat dari sudut pemilikan tanah, kesahihan pendudukan serta pematuhan undang-undang, bukannya dipolemikkan sebagai isu perkauman atau kewarganegaraan.
Beliau berkata, undang-undang berkaitan tanah perlu dikuatkuasakan secara sama rata tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang individu.
“Sejak bila penguatkuasaan undang-undang tanah menjadi isu perkauman? Sama ada seseorang itu Cina, Kadazan, Dusun, Bajau, Melayu atau mana-mana komuniti lain, undang-undang sama perlu terpakai.
“Menjadi rakyat Malaysia atau anak jati Sabah tidak secara automatik memberikan seseorang hak menduduki tanah yang bukan miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Thien turut mempersoalkan sama ada Warisan berpendirian bahawa rakyat Malaysia boleh membina rumah atau menduduki mana-mana tanah, termasuk tanah kerajaan dan milik persendirian, tanpa kebenaran.
Menurutnya, kewarganegaraan dan hak pemilikan tanah adalah dua perkara berbeza yang tidak sepatutnya dicampuradukkan sehingga mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, setiap rakyat mempunyai hak, namun pada masa sama bertanggungjawab mematuhi undang-undang, termasuk menghormati hak pemilik tanah yang memperoleh hartanah secara sah.
Bagaimanapun, Thien menegaskan pihak berkuasa perlu mengambil kira aspek kemanusiaan dan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada keluarga yang benar-benar terjejas, termasuk kanak-kanak yang bakal menduduki peperiksaan awam.
Katanya, pertimbangan kemanusiaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenarkan pencerobohan tanah berterusan tanpa penyelesaian mengikut undang-undang.
Beliau turut menegaskan sebarang tuntutan pemilikan tanah atau hak adat anak negeri yang mempunyai asas perlu diteliti dan dihormati melalui saluran perundangan sewajarnya.
“Penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara sah, adil dan berperikemanusiaan. Namun, sifat belas kasihan tidak bermaksud kita mengetepikan kedaulatan undang-undang.
“Jika tidak, apakah mesej yang kita sampaikan kepada ribuan rakyat Sabah yang bekerja keras, membayar sewa, melunaskan pinjaman perumahan dan membeli rumah sendiri?” katanya.
Thien berkata, membiarkan pendudukan tanah secara tidak sah atas alasan status kewarganegaraan juga boleh mewujudkan duluan yang menyukarkan pihak berkuasa mengawal pencerobohan tanah kerajaan, kawasan rizab awam serta hartanah persendirian.
Sehubungan itu, beliau menggesa Warisan supaya tidak mengheret isu penguatkuasaan undang-undang ke dalam pertikaian identiti kaum, sebaliknya mengemukakan penyelesaian yang menjaga kepentingan semua pihak.
“Isunya bukan siapa anda, apa kaum anda atau kad pengenalan yang dimiliki. Isunya ialah sama ada anda mempunyai hak yang sah untuk menduduki tanah berkenaan.
“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang, walaupun atas nama kaum, kewarganegaraan atau simpati politik,” katanya.