Pemandu mabuk lari selepas rempuh tiang lampu didenda RM12,300

TAWAU: Seorang lelaki yang memandu dalam keadaan dipercayai mabuk bukan sahaja melarikan diri selepas merempuh tiang lampu di pembahagi jalan, malah membiarkan kemalangan itu tanpa dilaporkan selama hampir seminggu sebelum berjaya dikesan polis.

Perbuatan itu bagaimanapun akhirnya membawa padah apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan denda keseluruhan RM12,300 selepas dia mengaku bersalah atas empat kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chung Chi Fui, 24, yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahakamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian sehingga menyebabkan kemalangan dengan merempuh tiang lampu di pembahagi jalan di Jalan Chong Thien Vun, berhampiran bangunan Mid Valley, kira-kira jam 3.30 pagi pada 28 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah mengenakan denda RM7,500, dan jika gagal dibayar boleh dipenjara tiga bulan, selain lesen memandunya diendos dengan sabitan kesalahan.

Dia turut didenda RM2,000 atau penjara sebulan kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam, selain denda RM2,000 atau penjara sebulan kerana gagal berhenti di tempat kejadian kemalangan, serta denda RM800 atau penjara tiga hari kerana menggunakan kenderaan dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memandu sebuah Toyota Hilux bersama seorang wanita selepas keluar dari sebuah pub di kawasan Kabota Central menuju ke rumahnya di Taman Wira 2.

Setibanya di lokasi kejadian, dia dipercayai memandu laju sehingga hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun tidak membuat laporan polis, sebaliknya terus pulang ke rumah kerana bimbang ketika itu masih berada di bawah pengaruh alkohol.

Semakan melalui sistem MySikap turut mengesahkan LKM kenderaan dipandunya telah tamat tempoh sejak 16 Oktober tahun lalu.

Ketika merayu hukuman ringan, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah, berjanji tidak mengulangi kesalahan sama serta memohon denda dikurangkan atas alasan menghadapi masalah kewangan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam.

Pendakwaan berhujah tertuduh sengaja tidak membuat laporan kerana bimbang disiasat dan menjalani ujian pernafasan kerana berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Selain itu, kejadian berkenaan telah tular di Facebook seawal hari kejadian, namun tertuduh tidak tampil secara sukarela, sebaliknya hanya hadir ke Pejabat Trafik selepas berjaya dikesan dan diarahkan oleh pegawai penyiasat.

Pendakwaan turut menegaskan tindakan tertuduh menggunakan kenderaan dengan LKM yang telah tamat tempoh selama beberapa bulan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan mengabaikan pematuhan undang-undang jalan raya.