PENAMPANG: Seorang lelaki parah manakala dua lagi cedera ringan selepas sebuah Toyota Avanza terbabas sendiri sebelum terbalik di Kampung Minintod, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan, manakala seorang lagi berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang menerusi Sistem NG999.
Katanya, seramai lapan anggota dari BBP Penampang bersama jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Avanza yang terbabas sendiri sebelum terbalik.
“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan dua mangsa yang tersepit sebelum membawa mereka menggunakan pengusung untuk diserahkan kepada pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa, iaitu lelaki berusia 56 tahun, lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 20 tahun, dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi mangsa cedera ringan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya