Lelaki warga asing didakwa edar hampir 75kg, dalam kereta Proton Saga kelabu

TAWAU: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar hampir 75 kilogram (kg) dadah jenis syabu di kawasan kawasan tempat letak kenderaan berhadapan sebuah premis di Jalan Tun Hamdan, di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Sopian Mustafa, 40, mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bekerja sebagai mekanik didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 74,866 gram di lokasi itu pada kira-kira jam 10.30 malam 12 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin dan tertuduh diwakili peguam Prem Elmer.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sebelum ini, tertuduh direman selama lapan hari selepas ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau, BSJND Kunak dan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang memeriksa sebuah Proton Saga berwarna kelabu di hadapan sebuah premis di Jalan Tun Hamdan, di sini, kira-kira jam 10.30 malam pada 12 Julai lalu sebelum menemui sejumlah dadah disyaki syabu bernilai jutaan ringgit.

Operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah ketika pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan berkunci sebelum pasukan serbuan bertindak memecahkan cermin pintu bahagian pemandu untuk membuka kenderaan itu.

Hasil pemeriksaan di dalam kereta menemukan tiga beg golf, sebuah beg jenama Hyper Gear, sebuah beg silang jenama Armani Exchange, wang tunai berjumlah RM12,674 serta sebuah telefon bimbit iPhone 14 Pro Max.

Pemeriksaan lanjut terhadap tiga beg golf dan beg Hyper Gear itu membawa kepada penemuan 70 bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disorok di dalam beg berkenaan.

Semua barang rampasan kemudian dibawa ke pejabat BSJND Tawau untuk tindakan lanjut sebelum hasil timbangan mendapati keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 74,866 gram.