Pelajar yang dilaporkan hilang ditemui di rumah rakan

KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan selamat di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam, di sini, petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata pelajar berkenaan, Gwynne Mia Erbin, ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan bersendirian, sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan bahawa dia mengikut seorang rakannya sejak hari sebelumnya sebelum ditemui di hadapan rumah rakan berkenaan.

“Selepas ditemui, mangsa dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membuat laporan susulan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kes hendaklah dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui saluran rasmi.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan kehilangan pelajar berkenaan sehingga berjaya ditemui dengan selamat.