Muka Sauk Kabang 94 peratus siap, pelan pencepatan 21 hari dilaksana – Armizan

PAPAR: Projek Menaik Taraf Muka Sauk Kabang kini mencapai kemajuan fizikal 94 peratus, dengan baki kerja kritikal dilaksanakan menerusi Pelan Pencepatan selama 21 hari bagi membolehkan sistem baharu beroperasi mengikut jadual.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek berkenaan penting bagi memperkukuh sistem bekalan air di daerah itu menerusi peningkatan kapasiti Muka Sauk Kabang daripada sembilan juta liter kepada 30 juta liter sehari.

Beliau berkata, Muka Sauk Kabang akan berfungsi sebagai sumber air mentah alternatif kepada Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau dan Loji EWSS, khususnya ketika sumber air di Muka Sauk Limbahau terjejas akibat masalah kemasinan, kekeruhan atau kandungan ammonia yang melebihi tahap selamat.

“Apabila sumber air di Muka Sauk Limbahau terjejas, air mentah dari Muka Sauk Kabang boleh digunakan bagi membantu memastikan kedua-dua loji terus beroperasi.

“Ini penting untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada penduduk di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau perkembangan projek itu hari ini.

Turut menyertai tinjauan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, projek yang dimulakan pada 10 Mac 2025 itu berdepan beberapa kekangan termasuk keadaan cuaca, paras sungai dan kualiti sumber air mentah.

Katanya, kerja di tapak pernah terhenti selama 46 hari akibat masalah saliniti, selain berdepan 71 hari hujan.

“Walaupun baki kerja kini hanya sekitar enam peratus, ia membabitkan komponen penting yang perlu disiapkan sebelum kapasiti baharu Muka Sauk Kabang dapat beroperasi.

“Pelan Pencepatan 21 hari sudah dimulakan dan kerja bagi tiga hari pertama membabitkan proses mengosongkan kolam serta pembinaan dinding struktur muka sauk,” katanya.

Menurutnya, kerja berikutnya merangkumi pembinaan tapak pam, pemasangan pam, penyambungan paip serta pengujian sistem.

Armizan berkata, pelaksanaan pelan itu memerlukan Muka Sauk Kabang sedia ada tidak digunakan selama 16 hari bagi membolehkan kolam dikosongkan dan kerja kritikal dilaksanakan.

Katanya, operasi paip sedia ada turut perlu dihentikan sementara pada Hari ke-17 hingga Hari ke-19 bagi membolehkan kerja penyambungan paip ke LRA Limbahau dijalankan.

“Dua hari terakhir pula diperuntukkan bagi melengkapkan proses pengujian dan pentauliahan sebelum sistem baharu boleh mula beroperasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penutupan sementara Muka Sauk Kabang tidak bermakna gangguan bekalan air akan berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan kerja berkenaan.

Menurutnya, LRA Limbahau dan EWSS masih boleh beroperasi menggunakan sumber air mentah dari Muka Sauk Limbahau selagi kualiti air berada pada tahap yang sesuai untuk dirawat.

“Namun, jika kandungan klorida meningkat sehingga air mentah tidak lagi sesuai untuk dirawat, pengeluaran air mungkin berkurangan dan berisiko menyebabkan tekanan rendah atau gangguan bekalan sementara di beberapa kawasan.

“Jika gangguan berlaku, penghantaran air menggunakan lori tangki serta pengisian tangki statik akan diselaraskan di kawasan yang terjejas,” katanya.

Armizan berkata, beliau memahami kesan gangguan bekalan air berlarutan terhadap masyarakat kerana ia boleh menjejaskan urusan keluarga, persekolahan, perniagaan, kesihatan serta rutin harian penduduk.

“Justeru, risiko sepanjang tempoh pelaksanaan kerja ini tidak boleh dipandang ringan dan setiap langkah persediaan perlu dibuat lebih awal.

“Pelan Pencepatan ini perlu diselesaikan supaya kita tidak terus berdepan keadaan sama pada masa hadapan, dengan keutamaan memastikan baki kerja disiapkan mengikut jadual serta meminimumkan kesannya kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, apabila siap kelak, Muka Sauk Kabang akan menjadi antara komponen penting dalam membina sistem bekalan air yang lebih stabil dan berdaya tahan untuk daerah Papar.

“Usaha ini mungkin melibatkan kesulitan sementara, tetapi ia perlu dilaksanakan demi mengurangkan risiko gangguan yang lebih berpanjangan pada masa hadapan,” katanya.