“Kalau mahu A, buat cara mahu A”: kata-kata ibu kunci kejayaan Asykal Ilham jadi pelajar cemerlang

KOTA KINABALU: “Kalau mahu A, buat cara mahu A,” kata-kata ringkas daripada seorang ibu menjadi pegangan hidup Asykal Ilham Azman sehingga berjaya melangkah ke Universiti Malaya (UM) sebagai pelajar Asasi Sains Fizikal dan menerima Biasiswa Cemerlang Yayasan Sabah, hari ini.

Bagi pelajar berusia 17 tahun dari Keningau itu, biasiswa yang diterimanya bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi suntikan semangat untuk mengejar impian menjadi seorang pereka semikonduktor dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

“Saya sangat bersyukur kerana beban perbelanjaan untuk tuisyen dapat dikurangkan.

“Terima kasih kepada Yayasan Sabah kerana memilih saya. Saya memang gembira dan amat menghargai peluang ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah ke-37, di sini, pada Khamis.

Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, kejayaan tidak datang dengan meniru cara orang lain, sebaliknya setiap pelajar perlu mengenali kaedah pembelajaran yang paling sesuai dengan diri sendiri.

“Setiap orang belajar dengan cara yang berbeza.

“Saya sendiri mengambil masa untuk mencari cara yang sesuai sebelum akhirnya dapat belajar dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Asykal turut mengakui sokongan ibu bapanya menjadi kekuatan terbesar sepanjang perjalanan pendidikannya.

“Saya sangat sayang ibu bapa saya. Kalau tiada mereka, saya tidak tahu apa yang akan jadi kepada saya hari ini.

“Mereka sentiasa menyokong perjalanan saya,” jelasnya.

Sementara itu, ibunya, Nik Norsherri Nordin, 52 tahun sempat berkongsi kejayaan anak bukan diukur melalui bidang yang diceburi, tetapi kesungguhan untuk berusaha dan tidak mudah berputus asa.

“Setiap anak ada cara belajar yang berbeza.

“Sebagai ibu, saya hanya melihat apa yang sesuai dengan mereka dan memberi sokongan mengikut keperluan masing-masing.

“Saya cuma katakan, kalau mahu A, buat cara mahu A,” tambahnya.

Beliau yang juga guru Bahasa Inggeris berkata, harapan terbesar sebagai seorang ibu adalah untuk melihat Ashkal menjadi insan yang berjaya dan mampu menyumbang kepada masyarakat, khususnya di Sabah.

Asykal turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Yayasan Sabah atas peluang yang diberikan, sambil berjanji akan memanfaatkan biasiswa itu sebaik mungkin demi mencapai cita-citanya.