Belanjawan RM18.7 bilion perlu dinilai melalui manfaat kepada rakyat – Johari

KOTA KINABALU: Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah keseluruhannya semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari segi keberkesanan perbelanjaan dan manfaat sebenar kepada rakyat.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Johari Suhaimin, berkata peruntukan berkenaan turut merangkumi perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan, termasuk gaji penjawat awam serta kos operasi kementerian dan jabatan yang berkhidmat di negeri ini.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, sebelum ini telah menjelaskan bahawa peruntukan berkenaan bukan sahaja meliputi projek pembangunan, malah turut digunakan untuk membiayai perbelanjaan pengurusan perkhidmatan awam Persekutuan, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan, selain pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.

Kata Johari, bahawa jumlah RM18.7 bilion itu bukan keseluruhannya dana yang disalurkan secara langsung kepada Kerajaan Negeri atau peruntukan khusus bagi projek pembangunan baharu.

“Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap peruntukan dapat diterjemahkan kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan penyelesaian masalah asas yang masih membelenggu rakyat Sabah.

“Masalah bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan asas di kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian serius, walaupun peruntukan pembangunan disediakan setiap tahun.” Kata Johari.

Tambah beliau, faktor geografi, keluasan wilayah dan kos pembinaan infrastruktur yang tinggi turut memerlukan pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan sebenar Sabah.

Bagaimanapun, katanya, cabaran tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan terhadap kelewatan pelaksanaan projek atau kelemahan penyampaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, Johari menekankan kepentingan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, termasuk penetapan sasaran projek, pemantauan kemajuan pelaksanaan dan ketelusan penggunaan peruntukan.

“Rakyat perlu diberikan penjelasan yang jelas mengenai tujuan sesuatu peruntukan serta memahami sejauh mana pelaksanaan projek berkenaan dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat,”katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari turut menegaskan bahawa isu pemberian khas berdasarkan
40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah tidak boleh disamakan dengan peruntukan tahunan Belanjawan Persekutuan.

Katanya, pemberian khas itu mempunyai asas perlembagaan tersendiri, khususnya di bawah Perkara 112C, 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.Menurutnya, penyelesaian isu berkenaan penting bagi memberikan kepastian fiskal kepada Kerajaan Negeri supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mampan.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap peruntukan dibelanjakan secara telus, cekap dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

“Oleh yang demikian, kejayaan belanjawan perlu dinilai bukan sekadar melalui jumlah dana yang diumumkan, tetapi berdasarkan hasil pembangunan serta peningkatan kualiti hidup rakyat Sabah,”kata Johari.