Lima warga Filipina disyaki bekerja tanpa permit sebagai pemandu selam di Semporna

SEMPORNA: Lima lelaki warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki bekerja tanpa permit sah sebagai pemandu selam dalam sektor pelancongan di perairan Laut Singamata, di sini, hari ini.

Semua lelaki berusia antara 20 hingga 32 tahun itu ditahan dalam operasi pemeriksaan bot pelancongan yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama empat anggota Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta dua anggota Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima lelaki terbabit mengemukakan dokumen yang meragukan selain gagal menunjukkan permit kebenaran bekerja yang sah di Sabah.

“Kesemua individu berkenaan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa bagi membanteras penggajian warga asing tanpa permit sah, khususnya dalam sektor pelancongan maritim.

Katanya, pemeriksaan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di kawasan perairan pelancongan bagi memastikan pematuhan undang-undang, keselamatan serta imej industri pelancongan Sabah terus terpelihara.