Penganggur nafi tuduhan tunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol, didenda RM500 kerana tiada lesen

TAWAU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol selepas ujian mendapati kandungan alkohol dalam darahnya melebihi had yang dibenarkan undang-undang.

Tertuduh, Mohamad Zuliqmal Eiman Sudirman, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunggang motosikal dengan kandungan alkohol sebanyak 131 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah, iaitu 81mg melebihi had yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam satu operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Kubota Square, kira-kira jam 1.12 pagi pada 19 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda tidak kurang RM10,000 serta tidak melebihi RM30,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri kepada pegawai penyiasat sehingga tarikh sebutan semula kes pada 12 Ogos ini. Sekiranya gagal memenuhi syarat jaminan, tertuduh akan ditahan di Penjara Tawau.

Dalam prosiding sama, Mohamad Zuliqmal mengaku bersalah atas pertuduhan kedua mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu yang sah.

Ketika merayu hukuman diringankan, tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan dirinya yang tidak bekerja selain bapanya menghidap kanser tahap empat dan sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM300 atau penjara tiga hari jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) IPD Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.