KOTA KINABALU: PETRONAS terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi pelancaran dua platform digital, Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas (POMIGAS) dan Sabah Work Pass Online System.
Kedua-dua platform itu dibangunkan hasil kerjasama PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah, dengan pembiayaan disediakan oleh PETRONAS sebagai usaha memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas.
Platform berkenaan dilancarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, sempena Sabah Oil & Gas Industry Talent Alignment Forum (SOGITAF) 2.0, pada Selasa.
Awang berkata, pelancaran kedua-dua platform itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperluaskan akses rakyat Sabah kepada peluang kerjaya dan pembangunan bakat dalam industri minyak dan gas.
“Kedua-dua platform ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi peluasan akses dan penyertaan kepada peluang dalam industri, pembangunan bakat tempatan serta pendekatan yang lebih terselaras dalam menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata, POMIGAS yang diintegrasikan dengan sistem Sabah Job Portal memberi kemudahan kepada belia dan graduan Sabah untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan serta latihan dalam industri minyak dan gas, selain menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan sebenar industri.
Sementara itu, Sabah Work Pass Online System pula dibangunkan bagi mempercepat dan mempermudah urusan permohonan serta pengurusan pas kerja di Sabah menerusi sistem digital yang lebih cekap.
Platform itu membolehkan majikan mengemukakan dokumen, memantau status permohonan serta mempercepatkan proses kelulusan melalui penyelarasan dengan pihak berkuasa buruh dan imigresen berkaitan.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan menerusi pelbagai inisiatif yang meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memperluaskan akses kepada peluang dalam industri.
“PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang meningkatkan keupayaan tenaga kerja, memperluas akses kepada peluang dalam industri serta menyokong pembangunan tenaga kerja minyak dan gas yang berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan,” ujar beliau.
Inisiatif berkenaan dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, dengan POMIGAS telah mula beroperasi pada awal tahun ini, manakala Sabah Work Pass Online System dijadualkan mula beroperasi pada 1 September depan.
Dalam pada itu, SOGITAF 2.0 terus berperanan sebagai platform yang menghimpunkan Petroleum Arrangement Contractors (PAC) bersama agensi Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan kefahaman mengenai keperluan kawal selia serta membincangkan isu dan keperluan semasa industri minyak dan gas di Sabah.