BEAUFORT: Tiga individu dipercayai terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.56 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
“Maklumat awal yang diterima memaklumkan terdapat tiga mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik.
“Pasukan bomba sedang dalam perjalanan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat dan penilaian keadaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Irwan Abdul, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Electricity.
Katanya, keadaan mangsa serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan maklumat lanjut akan dikemas kini selepas operasi selesai.