Kerajaan Sabah saman EY RM2.4 bilion, dakwa cuai audit SDB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah bersama tiga lagi plaintif memfailkan saman sivil berjumlah RM2.4 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY), berhubung dakwaan kecuaian dalam mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tempoh 12 tahun.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai lalu oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd.

Berdasarkan Pernyataan Tuntutan, plaintif mendakwa EY gagal melaksanakan kewajipan berjaga-jaga ketika menjalankan audit berkanun terhadap penyata kewangan SDB bagi tahun kewangan berakhir 2011 hingga 2022.

Plaintif mendakwa SDB sudah berada dalam keadaan tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018 apabila sebahagian besar portfolio pinjamannya terdiri daripada pinjaman tidak berbayar (NPL).

Namun, EY didakwa terus mengeluarkan pendapat audit tanpa pengecualian bagi penyata kewangan SDB untuk tempoh 2018 hingga 2022, termasuk menyatakan penyata kewangan berkenaan memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan bank itu.

Menurut dokumen mahkamah, pendapat audit tersebut didakwa menjadi antara asas kepada penerbitan program Kertas Komersial dan Nota Jangka Sederhana bernilai RM3 bilion pada 2021.

Plaintif turut mendakwa Kerajaan Negeri Sabah hanya mengetahui kedudukan kewangan sebenar SDB selepas lembaga pengarah dan pasukan pengurusan baharu mengambil alih pentadbiran bank berkenaan pada 2023.

Hasil semakan yang dijalankan didakwa mendapati pinjaman tidak berbayar mencecah kira-kira RM5 bilion atau hampir 70 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman SDB, dengan sekitar RM3 bilion daripadanya melibatkan pinjaman kepada pihak di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, plaintif mendakwa sebanyak RM5.195 bilion daripada aset sekuriti bernilai RM6.8 bilion mempunyai nilai yang diragui kerana bersandarkan penilaian yang lapuk, andaian tidak realistik serta projek yang telah terbengkalai.

Dokumen mahkamah itu turut membangkitkan dakwaan amalan ever-greening, iaitu pemberian kredit baharu kepada peminjam bermasalah bagi membolehkan mereka menjelaskan hutang lama, sekali gus mengelakkan pinjaman asal diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar.

Bagi tahun kewangan 2023, SDB merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM878.05 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM96.01 juta pada tahun sebelumnya.

Plaintif mendakwa kerugian itu berpunca antaranya daripada peruntukan kerugian kredit yang tidak mencukupi, penilaian cagaran yang lapuk serta kegagalan mengiktiraf kemerosotan nilai pinjaman pada tahun-tahun terdahulu.

Melalui saman tersebut, plaintif menuntut RM650 juta bagi deposit tetap Kerajaan Negeri Sabah yang dilucutkan hak pada November 2023, RM90 juta bagi suntikan modal pada Disember 2023 dan Oktober 2024, RM660 juta bagi deposit tetap yang dipersetujui untuk ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus, serta RM1 bilion bagi kerugian berterusan dan kerugian masa hadapan berkaitan liabiliti SDB yang dijangka perlu dibiayai sehingga September 2029.

Plaintif turut memohon deklarasi bahawa EY cuai serta melanggar kewajipan berkanun dan kewajipan di sisi undang-undang am, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi punitif dan teladan, faedah prapenghakiman, faedah pascapenghakiman pada kadar lima peratus setahun serta kos.

Bagaimanapun, semua dakwaan yang dikemukakan adalah berdasarkan Pernyataan Tuntutan plaintif dan masih belum diputuskan oleh mahkamah.

Sehingga kini, belum diketahui sama ada EY telah memfailkan pembelaan atau mengemukakan maklum balas terhadap saman tersebut.