BEAUFORT: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjolok buah kelapa menggunakan penjolok besi dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.56 petang sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 6.25 petang, pasukan bomba mendapati tiga mangsa sudah terkena renjatan elektrik.
“Menurut saksi, ketiga-tiga mangsa dipercayai terkena renjatan selepas penjolok besi yang digunakan untuk mengambil buah kelapa tersentuh kabel elektrik.
“Orang awam bertindak memadam kebakaran menggunakan dua alat pemadam api jenis serbuk sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ishak berkata, pasukan bomba kemudian memasang sawar keselamatan dan menjalankan penilaian di lokasi kejadian, manakala Sabah Electricity (SE) memotong bekalan elektrik bagi memastikan kawasan selamat.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa yang masing-masing lelaki berusia 40, 29 dan 26 tahun serta bertugas sebagai anggota PDRM disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba bersama PDRM kemudian mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 7.45 malam,” katanya.