KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, sah dipilih sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi sesi 2026-2029 selepas menang tanpa bertanding.
Turut menang tanpa bertanding ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai yang mengisi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera Bukan Islam.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Mojungki berkata, Dr Joachim yang memangku jawatan presiden sejak tiga tahun lalu menjadi calon tunggal bagi jawatan itu selepas pencalonan ditutup pada 31 Julai lalu.
Beliau berkata, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharram turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam selepas seorang lagi pencalonan gagal memenuhi syarat minimum tiga pencalonan.
“Setiap calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding,” katanya dalam kenyataan.
Bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina pula, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.
Sementara itu, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dijangka sengit apabila tiga calon bertanding bagi dua kekosongan kuota Bumiputera Bukan Islam, enam calon merebut dua jawatan kuota Bumiputera Islam dan lima calon bersaing bagi satu jawatan kuota Cina.
Julita berkata, seramai 79 calon menawarkan diri untuk semua jawatan parti, sekali gus menjadi jumlah pencalonan tertinggi pernah direkodkan PBS.
Katanya, lebih separuh daripada mereka adalah muka baharu yang pertama kali menawarkan diri bertanding dalam pemilihan parti.
Dalam perkembangan sama, Dr Joachim menyifatkan sambutan luar biasa itu sebagai petanda positif terhadap proses peremajaan PBS.
“Jumlah calon yang ramai, dengan lebih separuh daripadanya muka baharu, membuktikan semakin ramai berminat untuk berkhidmat kepada parti.
“Ini memberi petanda baik kepada usaha memperkukuh dan memperbaharui kepimpinan PBS bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBS semalam.
Menurutnya, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan Kongres PBS yang dijadual berlangsung September ini.
Katanya, persediaan rapi penting bagi memastikan kongres berjalan lancar serta menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan perpaduan parti, memperbaharui iltizam perjuangan dan merangka hala tuju demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah.