RANAU: Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ranau selepas didakwa menyerahkan akaun bank milik mereka kepada pihak lain sehingga digunakan bagi kegiatan penipuan yang menyebabkan kerugian kepada beberapa mangsa di daerah ini.
Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh adalah hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dalam usaha berterusan membanteras kegiatan penyalahgunaan akaun bank atau ‘keldai akaun’.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana menyerahkan akaun bank mereka kepada individu lain sehingga digunakan bagi tujuan penipuan.
Menurutnya, tindakan membawa kedua-dua tertuduh ke mahkamah membuktikan komitmen berterusan BSJK IPD Ranau dalam memerangi jenayah komersial, khususnya yang membabitkan penyalahgunaan akaun bank.
“Orang ramai perlu sedar bahawa perbuatan menyerahkan, menyewakan atau membenarkan akaun bank peribadi digunakan oleh pihak lain merupakan satu kesalahan serius yang boleh membawa implikasi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat pemilik akaun yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 424B dan Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti keldai akaun.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara, atau kedua-duanya sekali mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Mursalin menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap sebarang tawaran projek, pelaburan atau perkhidmatan yang memerlukan pembayaran pendahuluan bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak sesekali menyerahkan atau membenarkan akaun bank peribadi digunakan oleh pihak lain kerana tindakan itu boleh menyebabkan pemilik akaun berdepan tindakan undang-undang.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penipuan dan penyalahgunaan akaun bank sebagai sebahagian daripada usaha PDRM membanteras jenayah komersial,” katanya.