KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sedang mengadakan perbincangan bagi meneroka bentuk kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bagaimanapun, perbincangan itu masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
Menurutnya, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum sebarang keputusan berhubung kerjasama berkenaan dibuat.
“Kita sedang melihat perkara itu, cuma kita belum memuktamadkan banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Saya tidak mahu memperincikannya terlalu awal, tetapi saya fikir sudah ada sedikit kejelasan dalam fikiran mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Warisan, di sini, hari ini.
Shafie berkata, antara perkara yang menjadi perhatian dalam perbincangan itu ialah usaha memastikan suara rakyat Sabah terus dibawa dan diberi perhatian.
Beliau berkata, Warisan dilihat sebagai antara parti yang mempunyai kekuatan untuk menghimpunkan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat di Sabah.
“Mereka mahukan suara Sabah berada di situ dan mereka melihat Warisan sebagai antara parti paling kuat di bahagian ini yang boleh mengumpulkan sokongan daripada semua lapisan masyarakat.
“Di Sabah ada masyarakat Cina, Kedayan, Bugis, Bajau, Dusun, Murut, Tidung dan pelbagai lagi. Semua ini adalah rakyat Sabah,” katanya.
Menurut Shafie, kepelbagaian etnik di Sabah seharusnya menjadi kekuatan dalam membentuk kerjasama politik yang mampu memperjuangkan kepentingan negeri.
Katanya, sebarang kerjasama yang bakal dimeterai perlu mengambil kira aspirasi rakyat Sabah dan memastikan suara negeri itu lebih kukuh di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci bentuk kerjasama yang sedang dibincangkan, termasuk kemungkinan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU16.
“Banyak perkara masih perlu kita bincangkan dan kita akan lihat bagaimana perkembangannya,” katanya.