Jangan perkecil peranan Sabah, Sarawak sebagai ‘kingmaker’ – Ewon

KOTA KINABALU: Peranan Sabah dan Sarawak dalam menentukan pembentukan serta kelangsungan kerajaan Persekutuan tidak seharusnya dipandang ringan, kata Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

Menurutnya, kekuatan berkenaan bukan sekadar berkaitan pembentukan kerajaan, sebaliknya mencerminkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian penting dalam struktur Persekutuan Malaysia.

“kalau itu kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak dalam menentukan sama ada persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak, jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri dan siapa yang harus berada dalam kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata, kedudukan kedua-dua wilayah itu amat penting dalam konteks politik negara memandangkan Malaysia tidak akan wujud tanpa penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Dalam konteks yang lebih besar, Persekutuan atau negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu, Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dan sebahagian daripada tadbir urus negara ini dan boleh menjadi kingmaker,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, penyertaan parti-parti tempatan Sabah dalam gabungan politik yang kukuh juga penting bagi memastikan suara dan kepentingan negeri dapat dibawa secara lebih berkesan di peringkat Persekutuan.

Tegas Ewon, pendirian UPKO berhubung kedudukan Sabah dalam Persekutuan akan terus berteraskan agenda Sabah First, termasuk memastikan hak dan kepentingan negeri dipertahankan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).