TAWAU: Sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram minyak masak bernilai keseluruhan RM104,138.40 disita selepas pemiliknya gagal mengemukakan permit memiliki barang kawalan berkenaan.
Rampasan dibuat dalam serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di Jalan Inderasabah, di sini, semalam.
Turut disita sebuah kenderaan Toyota Hilux Single Cab berwarna putih yang dipercayai digunakan untuk membawa barang kawalan terbabit.
KPDN Tawau dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.
“Pemilik gagal menunjukkan sebarang permit untuk memiliki barang kawalan terbabit kepada pihak berkuasa.
“KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terbabit dalam penyelewengan barang kawalan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.
KPDN turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyeleweng atau menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.