Belanjawan 2027 beri manfaat belia seluruh negara

KOTA KINABALU: Inisiatif Belanjawan 2027 memberikan pelbagai manfaat kepada golongan belia seluruh negara termasuk Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, antara inisiatif belanjawan yang telah dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan penghargaan kepada belia di Malaysia termasuk Sabah.

“Untuk menghargai para belia di negara ini terutama di negeri Sabah, Belanjawan 2027 turut memberi manfaat kepada golongan belia.

“Antara inisiatif tersebut adalah belia yang berumur 18 tahun ke atas layak menerima SARA MADANI 2027.

“Melalui SARA MADANI, belia yang berumur 18 tahun ke atas dan bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), akan menerima RM100 sebanyak dua kali.

“Kita juga ada Budi Belia, iaitu RM100 melalui e-wallet atau e-dompet dan ini adalah untuk belia yang melengkapkan jam kesukarelawanan bersama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih kerana kita mahukan belia yang rajin dan aktif dalam bidang kesukarelawanan.

“Selain itu, kali pertama pada tahun hadapan, kita ada bantuan kepada pelajar-pelajar tingkatan enam sebanyak RM2,500 sara diri yang sebelum ini hanya membabitkan pelajar matrikulasi sahaja, tapi kali ini kita sediakan juga elaun sara hidup kepada pelajar-pelajar tingkatan enam.

“Turut disediakan adalah bantuan buat ibu bapa iaitu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang kita naikkan kepada RM200, dan juga turut diberikan elaun pendidikan khas buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang memerlukan kemasukan dalam pendidikan khas,” katanya semasa berucap merasmikan Program MADANI Kita (PMK) @ Sepanggar Sabah, di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, jelasnya PMK merupakan program turun padang agensi-agensi kerajaan membawa perkhidmatan masing-masing, terus kepada rakyat yang perlu dimanfaatkan oleh semua pihak.

Menurutnya, pelbagai program telah disusun oleh pihak penganjur Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat sekitar.

“Antara program yang diadakan, inisiatif kesejahteraan dan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan selepas ini masyarakat bolehlah menggunakan perkhidmatan tersebut di reruai yang telah disediakan.

“Kita juga ada Bantuan Sara Hidup Rahmah, bantuan bakul makanan kepada seramai 146 penerima dan Jualan Rahmah MADANI,” ujarnya.

Beliau berharap PMK akan diteruskan pada masa akan datang dan seluruh warga setempat dapat memanfaatkan setiap pameran yang membabitkan sebanyak 23 agensi pempamer serta perkhidmatan percuma dan aktiviti yang telah disediakan sepanjang program untuk rakyat.

Beliau menyeru rakyat agar sama-sama mendukung usaha Kerajaan MADANI dalam usaha memakmurkan negara demi kesejahteraan rakyat.

Program yang dihadiri sekitar 6,121 pengunjung itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya pertandingan sepak penalti, pertandingan karya cilik MADANI, sukaneka cilik MADANI, Pesona Flora MADANI, pertandingan karaoke, persembahan buskers serta bimbingan penubuhan dan pendaftaran Kelab Sukan turut disediakan.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin, Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Ahmad Jefry Aziz @ Adan dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah, Noorman Ramlan.