Polis berjaya tahan tiga lelaki berkaitan dadah di Beaufort

BEAUFORT: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menahan tiga lelaki dalam dua operasi berasingan berkaitan penyalahgunaan dan pemilikan dadah di daerah itu.

Dalam operasi pertama, seorang lelaki ditahan selepas hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

IPD Beaufort dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua lelaki disyaki terlibat dalam aktivit dadah di kawasan pantai Pimping, di sini.

Dalam operasi berasingan, BSJND IPD Beaufort turut menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti dadah di kawasan pantai Pimping, Membakut.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah disyaki jenis syabu seberat 1.20 gram yang dipercayai berada dalam milikan kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat BSJND IPD Beaufort sebelum dimasukkan ke lokap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis menegaskan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan kegiatan pengedaran dadah akan terus diperkasakan bagi memastikan daerah Beaufort tidak dijadikan lokasi aktiviti dadah yang boleh menjejaskan masyarakat serta masa depan generasi muda.

“Tiada ruang untuk mana-mana pihak menjadikan daerah Beaufort sebagai lokasi aktiviti pengedaran dadah yang boleh merosakkan masa depan masyarakat dan generasi muda,” tegasnya.