PITAS : Wanita memainkan peranan penting sebagai tonggak keluarga dan penggerak perpaduan masyarakat, khususnya dalam membentuk keluarga yang harmoni serta komuniti yang sejahtera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi berkata, sumbangan wanita bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan keluarga, malah turut memainkan peranan besar dalam aktiviti kemasyarakatan dan perpaduan komuniti.
“Wanita inilah penggerak kemerdekaan kita dan wanita ini juga yang menentukan kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat.
“Penglibatan wanita dalam pelbagai program komuniti membuktikan golongan ini mempunyai peranan besar dalam menyemai semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Wanita khususnya ibu turut menjadi contoh serta sumber bimbingan utama kepada anak-anak dalam membentuk sahsiah dan nilai kehidupan yang baik.
“Anak-anak inilah yang akan menjadi pelapis masa depan kita, tetapi mereka perlu mendapat bimbingan daripada ibu bapa dan perhatian yang sewajarnya.
“Penglibatan aktif wanita dalam komuniti perlu terus digalakkan kerana kekuatan keluarga dan perpaduan masyarakat memerlukan sumbangan semua pihak,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Pitas di Masjid Pangiran Haji Abd Karim, Kg Kalumpang Pitas, di sini, pada Isnin.
Terdahulu, program berkenaan diisi dengan sesi ceramah Maghrib bertemakan kemerdekaan dan Maulidur Rasul, selain penyerahan zakat wakalah oleh Telekom Malaysia (TM) Sabah kepada masjid berkenaan serta 20 orang asnaf dari Kg. Kalumpang Pitas.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam, TM Sabah, Nurul Izza Ripin serta Timbalan Pengerusi Masjid Pengiran Haji Abdul Karim, Johan Amin.