90 peratus bangunan pejabat Leepang 2 terbakar awal pagi

KINABATANGAN: Sebuah bangunan pejabat di ladang Leepang 2, di sini terbakar kira-kira 90 peratus dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suruyadi Drawis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.7 pagi sebelum enam anggota tiba di lokasi pada jam 9.18 pagi, kira-kira 140 kilometer dari balai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan pejabat jenis kekal berukuran kira-kira 20 x 40 kaki.

“Bangunan tersebut terbakar kira-kira 90 peratus.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula.

“Kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada punca nyalaan semula berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, operasi turut berdepan kekangan komunikasi di lokasi berikutan tiada liputan GIRN dan talian telefon.

“Operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” ujarnya.