TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas disyaki cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap teman wanitanya ketika berada di dalam sebuah kereta di kawasan Megah Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.01 tengah malam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.43 malam ketika suspek dan mangsa berada di dalam sebuah kereta di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa setiap kali mereka berjumpa.
“Suspek juga pernah memaksa mangsa melakukan hubungan tidak senonoh, namun ditolak mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rosdi berkata, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan cabul atau gangguan seksual dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga serta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada polis,” katanya.