Bomba pantau empat bangunan susulan gempa lemah di Keningau

KENINGAU: Empat bangunan di sekitar daerah ini diperiksa susulan kejadian gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada kerosakan struktur, runtuhan atau kejadian tidak diingini susulan gegaran berkenaan.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan rondaan dan pemantauan di Bangunan G-MART Keningau, Bangunan Perabot Apollo, Pejabat Kesihatan Keningau dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

“Pasukan bomba mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa serta tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan mangsa dilaporkan.

“Pasukan turut memberi nasihat keselamatan kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai turut dinasihatkan supaya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau berlaku kecemasan.

Katanya, operasi rondaan dan pemeriksaan itu bermula pada 9.40 pagi dan tamat pada 11.05 pagi selepas keadaan di semua lokasi didapati selamat serta terkawal.

“Seramai tujuh anggota BBP Keningau terbabit dalam operasi berkenaan membabitkan sebuah jentera FRT dengan lima anggota dan sebuah EMRS dengan dua anggota.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.