PENAMPANG: Tiga blok gudang plastik dan 12 kenderaan musnah dalam kebakaran di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.29 malam sebelum jentera tiba di lokasi empat minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran membabitkan tiga blok gudang plastik jenis kekal berkeluasan 100 x 30 kaki persegi setiap satu, yang dilaporkan terbakar 100 peratus.
Kebakaran turut memusnahkan 12 kenderaan, terdiri daripada empat van, tiga kenderaan pacuan empat roda, sebuah motosikal, sebuah Perodua Viva, dua lori Isuzu lima tan dan sebuah Triton.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan, dengan keseluruhan 29 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 12.32 tengah malam sebelum ditamatkan pada jam 6.16 pagi selepas kerja-kerja pemeriksaan dan pembersihan sisa kebakaran selesai.