Lelaki cedera jari tersepit mesin pengisar ikan di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera selepas jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar ikan di Tian Sia, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.11 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota BBP Sandakan bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.14 petang dan mendapati seorang lelaki mengalami kecederaan selepas jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar ikan.

“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi melepaskan jari mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jimmy berkata, mangsa, Muhammad Irwan Abdullah, 26, mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.25 petang selepas keadaan disahkan terkawal dan tiada tindakan lanjut diperlukan,” katanya.