BEAUFORT: Pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Bandar Mingo, di sini, dipercayai menjadi sasaran pencuri apabila komponen tembaga bernilai kira-kira RM25,000 dilarikan dalam kejadian Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan komponen Busbar Earthing dan sambungan Busbar di pencawang terbabit.
Menurutnya, kehilangan itu disedari selepas pintu pencawang berkenaan ditemukan mempunyai kesan diumpil.
“Pemeriksaan mendapati beberapa komponen tembaga telah hilang dan dipercayai dicuri.
“Anggaran kerugian akibat kehilangan komponen tembaga tersebut adalah kira-kira RM25,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Champiun berkata, kejadian kecurian komponen tembaga di pencawang SESB semakin kerap berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pihak SESB, malah boleh mengundang risiko gangguan bekalan elektrik kepada pengguna sekiranya komponen penting dalam sistem pencawang dicuri atau dirosakkan.
“Pengusaha dan pembeli barangan lusuh dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menerima atau membeli barangan tembaga, terutama yang ditawarkan pada harga tidak munasabah atau diperoleh daripada sumber yang meragukan.
“Jangan mengambil mudah urusan pembelian komponen tembaga tanpa memastikan sumber dan pemilikan barangan berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan operasi bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan kecurian mahupun urusan menerima atau membeli barangan yang mempunyai kaitan dengan hasil jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kegiatan kecurian komponen pencawang SESB diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” tambahnya.