KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih yang menjadi hak negeri itu dapat diselesaikan dan disegerakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu antara kepentingan utama yang terus diberi perhatian kerajaan negeri dalam rundingan berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, kerajaan Sabah turut memohon pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan berhubung penyelesaian tuntutan berkenaan.
“Bagi pihak kerajaan di Sabah, kita juga ada memohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu supaya mendapat pertimbangan yang sewajarnya.
“Jadi, kita berharap supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan pemberian interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.
Katanya, rundingan mengenai perkara itu akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta peruntukan seperti yang terkandung dalam perjanjian asal.
“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini ke RM1.5 bilion sebagai langkah interim.
“Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya.
Anwar berkata, jumlah berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober sebelum bayaran RM1.5 bilion itu disalurkan kepada Sabah.
Menurutnya, pembayaran itu dijangka dapat diserahkan pada akhir Oktober atau awal November.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan penyelesaian tuntutan berkenaan mengambil kira prinsip serta semangat MA63, selain kedudukan kewangan semasa kerajaan.