KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyasarkan perundingan dengan Kerajaan Negeri dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan perkara berkenaan secepat mungkin bagi membolehkan pengoperasian AKPS di Sabah dilaksanakan sepenuhnya.
“Pihak kami akan berusaha secepat mungkin sebelum akhir tahun ini untuk mendapatkan kata putus.
“Sekiranya diselesaikan lebih awal daripada itu, lebih baik untuk kedua-dua pihak.
“Harapan saya, seperti mana pengoperasian kami di negeri-negeri lain, kita dapat beroperasi di Sabah secepat mungkin dan dapat menjaga kepentingan Sabah seperti mana yang diamanahkan oleh kerajaan kepada AKPS,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Menurutnya, pengoperasian AKPS di Sabah tidak mengambil hak Kerajaan Negeri, sebaliknya perkara itu perlu diperjelas semula menerusi proses rundingan yang sedang berlangsung.
Tambahnya, antara kejayaan AKPS di negeri ini diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan tindakan penguatkuasaan demi kepentingan rakyat.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)