Hujan lebat landa beberapa kawasan Sabah hingga empat petang ini

KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam empat petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat meliputi Tawau termasuk Semporna, Kunak dan Kalabakan.

“Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku lebih sejam.

“Amaran berkenaan dikeluarkan pada jam dua petang, hari ini dan sah sehingga empat petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, kawasan Pedalaman membabitkan Pensiangan, Beaufort, Kuala Penyu, Membakut, Keningau, Tambunan, Tenom dan Sook turut terjejas.

Amaran sama turut melibatkan kawasan Pantai Barat, Kudat iaitu Kota Marudu, serta Sandakan membabitkan Paitan, Telupid dan Tongod.