Dua jambatan baharu bernilai RM23.3 juta siap di Kadamaian – Ewon

KOTA BELUD: Dua projek jambatan konkrit bernilai keseluruhan RM23.3 juta di Kampung Kaung dan Kampung Melangkap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan serta merancakkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, Jambatan Konkrit Kaung sepanjang 100 meter melibatkan peruntukan RM14.3 juta, termasuk pembinaan sebuah pembetung bagi laluan anak sungai, dimulakan pada Ogos 2024 dan siap sepenuhnya awal September tahun ini.

Beliau berkata, Jambatan Konkrit Melangkap sepanjang 50 meter dengan kos kira-kira RM9 juta dimulakan pada Februari 2025 dan siap sepenuhnya Ogos lalu.

“Kedua-dua jambatan itu akan membawa perubahan besar kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan ribuan penduduk di Mukim Kaung dan Mukim Melangkap.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya yakin kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan ribuan penduduk yang menggunakan kemudahan tersebut.

“Saya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk JKR Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menjayakan rancangan pembangunan Kadamaian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035,” katanya.

Jambatan baharu yang bernilai RM23.3 juta di Kadamaian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bersama pegawai JKR Sabah, Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang menyediakan peruntukan bagi kedua-dua projek ini.

“Terima kasih juga kepada agensi pelaksana, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta syarikat pelaksana yang dilantik kerana memastikan kedua-dua projek ini dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam lawatan itu, Ewon turut meninjau Jalan SK Kaung sepanjang tiga kilometer dan Jalan Melangkap–Kebayau yang telah dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk dilaksanakan tahun hadapan menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri Sabah.

Menurutnya, cadangan menaik taraf kedua-dua jalan itu dibuat susulan permintaan dan aduan penduduk, selain menjadi sebahagian daripada perancangan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar terus dilaksanakan secara berterusan di Kadamaian,” katanya.

Ewon berkata, beberapa lagi projek jalan raya berskala besar kini sedang dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, Jalan Kinasaraban serta Jalan Taginambur- Komburaon.

“Ini menunjukkan bahawa banyak projek infrastruktur berskala besar, khususnya jalan raya dan jambatan, sedang dilaksanakan di DUN Kadamaian bagi meningkatkan kesalinghubungan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.