KOTA KINABALU: Penambahbaikan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penambahbaikan yang berkuat kuasa serta-merta pada 16 September lalu itu amat signifikan kepada Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira realiti penggunaan kenderaan di kedua-dua wilayah berkenaan.
Katanya, antara realiti yang perlu diambil kira termasuk amalan kenderaan ‘sambung bayar’, pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah serta kebergantungan lebih tinggi terhadap kenderaan jenis jip dan pikap.
“Saya melihat penambahbaikan ini sebagai bukti bahawa YAB Perdana Menteri mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak. Namun, dasar yang baik hanya akan mencapai matlamatnya apabila rakyat di peringkat akar umbi dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Mustapha, di bawah ketetapan baharu, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada warganegara Malaysia yang layak dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
“Pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian juga boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau turut menggesa Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan memperkukuh kerjasama dengan struktur kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah serta rangkaian Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak.
Katanya, jaringan kepimpinan akar umbi itu berada paling dekat dengan masyarakat dan boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat, mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan serta membimbing rakyat dalam proses semakan kelayakan, permohonan, rayuan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel.
“Saya mencadangkan supaya program seperti Kaunter Bergerak BUDI Diesel diperluaskan dengan kerjasama UPPM di Sabah, KMKK dan JKKK di Sarawak, Pejabat Daerah, KPDN serta agensi berkaitan.
“Pendekatan ini penting supaya tidak ada rakyat tercicir hanya kerana kurang mendapat maklumat, tidak memahami prosedur permohonan atau menghadapi kekangan akses digital,” ujar beliau.
Tambah beliau, maklum balas berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak akan sentiasa dibawa ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri agar perkara itu terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan.