SMD berpotensi jadi tarikan pelancongan, tapi perlu terap nilai sivik

KOTA KINABALU: Sabah Motor Day (SMD) berpotensi dikembangkan sebagai acara pelancongan yang mampu menarik peminat permotoran dari dalam dan luar Sabah, susulan sambutan menggalakkan daripada peserta di seluruh Borneo.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata potensi itu bagaimanapun perlu disokong dengan penambahbaikan dari aspek syarat penyertaan, disiplin serta penerapan nilai sivik dalam kalangan peserta.

Katanya, SMD bukan sekadar acara menghimpunkan peminat motosikal dan golongan belia, sebaliknya boleh dijadikan platform memperkenalkan Sabah kepada pengunjung dari luar negeri sekiranya penganjuran dilaksanakan secara lebih tersusun.

“Saya bersetuju dengan penganjuran SMD kerana program santai seperti ini jelas mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan belia yang meminati konvoi motosikal.

“Bagaimanapun, syarat penyertaan dan disiplin perlu ditambah baik, selain menerapkan nilai sivik serta elemen kebajikan seperti program derma darah untuk peserta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masiung berkata, aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang juga perlu diberikan perhatian, termasuk cadangan supaya polis menjalankan pemeriksaan air kencing secara rawak terhadap peserta.

Menurutnya, penganjuran SMD di Kompleks Sukan Likas, baru-baru ini, dilaporkan menarik lebih 70,000 peserta bermotosikal dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Labuan.

Katanya, sambutan besar itu menunjukkan SMD mempunyai potensi untuk menjadi acara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Namun, beliau berkata beberapa kritikan turut timbul, antaranya dakwaan berkaitan lambakan sampah yang ditinggalkan peserta dan peniaga di kawasan tapak program.

“Ada juga dakwaan syarat terlalu longgar sehingga wujud peserta dan peniaga jalanan dalam kalangan warga asing yang dikatakan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan lesen motosikal.

“Perkara seperti ini perlu diteliti supaya tidak menjejaskan imej SMD yang mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai acara pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, Masiung mencadangkan penganjur SMD bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan pada penganjuran akan datang.

Katanya, kerjasama antara agensi berkenaan dapat membantu memperkemas aspek keselamatan, pemeriksaan dokumen, pematuhan undang-undang serta pengurusan kebersihan di lokasi acara.

“JPJ boleh melaksanakan pemeriksaan keselamatan fizikal motosikal, termasuk memastikan lesen dan cukai jalan sah, manakala Jabatan Imigresen boleh membantu dalam pemeriksaan dokumen pengenalan diri.

“Pihak berkuasa tempatan pula boleh menyediakan fasiliti kebersihan yang mencukupi untuk peserta dan peniaga,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting supaya SMD dapat berkembang sebagai acara permotoran yang bukan sahaja menarik peserta dari seluruh Borneo, malah mampu menjadi salah satu produk pelancongan Sabah dengan imej yang lebih tersusun dan positif.