850 liter petrol bernilai RM3,714 dirampas di Semporna

SEMPORNA: Panik melihat kehadiran penguat kuasa, individu dipercayai terbabit dalam penyelewengan petrol melarikan diri ke kawasan bakau sebelum meninggalkan dua bot bersama 850 liter bahan api dalam dua operasi berasingan, semalam.

Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri sebaik pemeriksaan dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di perairan Kampung Halo dan Kampung Tobok Tobok.

Kesemua rampasan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.

KPDN dalam kenyataan hari ini berkata, dalam operasi pertama, PPM menemui 300 liter petrol yang diisi dalam 12 gelen di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di perairan Kampung Halo.

Menurutnya, sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda turut dirampas selepas individu dipercayai terbabit melarikan diri ke kawasan bakau ketika pemeriksaan dijalankan.

“Dalam kes kedua, sebanyak 550 liter petrol yang diisi dalam 22 gelen ditemukan dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di pinggir bakau Kampung Tobok Tobok.

“Individu dipercayai terbabit turut melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan bot bersama sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keseluruhan petrol yang dirampas dalam kedua-dua operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM3,714.50.

“KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan menerusi WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.