PAPAR: Sebanyak 90 unit tukun tiruan dilabuhkan di sepanjang perairan Papar bagi memperkaya sumber perikanan serta membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan komuniti nelayan setempat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara perkara yang pernah dikemukakan dan disusulinya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan Sabah.
Menurutnya, beliau tidak dapat menghadiri Program Melabuh Modul Ladang Ikan di Laut (LIDL) yang lebih dikenali komuniti nelayan sebagai tukun tiruan atau unjam-unjam itu kerana mempunyai urusan rasmi di Putrajaya.
“Saya telah diwakili Setiausaha Sulit, Datuk Roslie Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, beliau sebelum ini turut mengutus surat kepada Menteri KPKM pada 21 Januari lalu bagi memohon pertimbangan peruntukan untuk melaksanakan projek berkenaan.
Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Sabah, projek tukun tiruan terakhir di perairan Papar dilaksanakan pada 2010 membabitkan 18 unit tukun untuk komuniti nelayan di lima kampung.
“Setelah lebih 15 tahun, terdapat kemungkinan besar tukun tersebut telah tenggelam atau tertimbus dan tidak lagi berfungsi secara optimum.
“Keadaan inilah yang turut saya bangkitkan dalam surat permohonan bagi pelaksanaan projek tukun baharu,” katanya.
Beliau berkata, 90 unit tukun tiruan itu kini dilabuhkan berhampiran kawasan pesisir beberapa kampung termasuk Kampung Kuala, Kampung Pengalat Besar dan Kampung Beringgis untuk dimanfaatkan komuniti nelayan dari kampung sekitar.
Menurutnya, pelbagai jenis tukun disediakan mengikut kesesuaian sumber marin, termasuk tukun ikan, sotong dan udang kara.
“Selain menyediakan habitat serta kawasan pembiakan hidupan laut, inisiatif ini diharapkan dapat mewujudkan kawasan tangkapan yang lebih produktif untuk manfaat nelayan setempat,” katanya.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada LKIM kerana memberikan perhatian dan merealisasikan projek berkenaan di perairan Papar.
“Semoga manfaatnya dapat dirasai oleh komuniti nelayan setempat serta menyumbang kepada kelestarian khazanah laut kita untuk jangka panjang,” katanya.