Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah di Tawau

TAWAU: Dua beradik masing-masing berusia 10 dan 13 tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria, Lorong 11, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.13 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.

“Seramai enam mangsa terlibat dalam kejadian itu, empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri dan keluar sendiri dari rumah berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan sepanjang 200 kaki, menggunakan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

Operasi melibatkan seramai 20 anggota bomba dengan bantuan anggota PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi selepas pihak bomba memastikan api padam sepenuhnya dan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.