KOTA KINABALU: Ketahanan rakyat atau people’s resilience perlu diperkukuh dalam pertahanan negara bagi menghadapi bentuk cabaran dan ancaman yang semakin berubah, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tanggungjawab mempertahankan negara dan kedaulatannya bukan hanya terletak pada angkatan tentera, tetapi turut memerlukan penglibatan rakyat.
“Kita kena ingat cabaran kita hari ni datang daripada keadaan-keadaan seperti banjir, perubahan cuaca, bencana, serangan siber dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif MiDAS, Laksdya Datuk Yusne Mokhtar dan Setiausaha
Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Datuk Awang Ashaari serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.
Menurut beliau, rakyat perlu mempunyai pengetahuan, kesedaran dan kekuatan untuk berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman sebagai sebahagian daripada usaha membina daya tahan negara.
“Kalau ini tidak ada, hanya angkatan tentera yang memainkan peranan untuk memastikan pertahanan dan juga kedaulatan, ia tidak akan membawa satu kekuatan yang besar.
“Jadi atas sebab itulah kita mengadakan program ini,”jelasnya.
Kata beliau, kewujudan ketahanan rakyat bersama peranan yang dimainkan angkatan tentera mampu membentuk daya rintang (credible deterrence) yang lebih kukuh.
“Kita mahu bangunkan ketahanan rakyat dan bila adanya ketahanan rakyat itu, maka ia akan menjadi sebagai satu credible defence (daya rintang).
“Daya rintang ini bermakna sekiranya ada mana-mana negara yang mempunyai niat tidak baik terhadap negara kita, apabila mereka melihat rakyat dan angkatan tentera kita berada dalam keadaan bersedia, kuat dan kukuh, mereka akan berfikir banyak kali sama ada mahu melakukan serangan atau sebaliknya.
“Bila rakyat mempunyai daya tahan dengan peranan yang dimainkan oleh angkatan tentera, maka negara kita ni akan dapat wujudkan daya rintang,” ujarnya.