KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) menerusi anak syarikatnya, SEDCO Communications Sdn Bhd (S.Comm), terus memperluas peranan dalam pembangunan infrastruktur digital negeri menerusi peluasan rangkaian 5G di tiga lokasi strategik.
Tiga lokasi berkenaan termasuklah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Pusat Teknologi & Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang dan Hyatt Regency Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital di Sabah.
Menurutnya, kejayaan berkenaan turut membuktikan keupayaan S.Comm untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong agenda transformasi digital negeri.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kumpulan SEDCO, khususnya SEDCO Communications, atas kejayaan memeterai perjanjian ini.
“Saya ingin melihat lebih banyak kerjasama seperti ini dapat dijayakan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), di sini, hari ini.
Menerusi kerjasama itu, S.Comm bekerjasama dengan U Mobile bagi pelaksanaan dan penyelenggaraan rangkaian 5G dalam bangunan di SICC.
Bagi ITCC Penampang pula, S.Comm dilantik sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi, manakala Hyatt Regency Kota Kinabalu bekerjasama dengan syarikat itu bagi penyediaan kemudahan sambungan 5G dalam bangunan.
Sementara itu, Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah berkata, kejayaan S.Comm mendapatkan kerjasama berkenaan membuktikan kesungguhan syarikat untuk meningkatkan prestasi perniagaannya.
Katanya, S.Comm disasarkan menjadi antara anak syarikat SEDCO yang menerajui penggunaan teknologi baharu dalam bidang telekomunikasi di Sabah.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, ia membuktikan mereka menyahut seruan itu serta mempunyai komitmen untuk mengangkat dan meningkatkan prestasi S.Comm,” katanya.
Menurutnya, S.Comm bukan sahaja memberi tumpuan kepada teknologi 5G, malah terus memperluas rangkaian gentian dan jalur lebar di kawasan bandar serta luar bandar.
“Usaha itu turut merangkumi sokongan terhadap teknologi 4G, 5G dan generasi akan datang, selain pembangunan ekosistem pintar serta berasaskan data.
“S.Comm turut menjalin kerjasama strategik bagi mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi selaras dengan aspirasi Sabah Digital Blueprint,” katanya
Masiung berkata, syarikat itu turut menyokong pembangunan ekosistem Pusat Data Sabah menerusi teknologi AI Token Factory, iaitu sistem infrastruktur kecerdasan buatan yang direka untuk menghasilkan token AI secara berskala besar dan cekap.