UMS tampilkan khazanah budaya Borneo di PBAKK 2026

KOTA KINABALU: Usaha mendokumentasi, memelihara dan mewariskan khazanah budaya serta bahasa Borneo kepada generasi muda terus diperkasa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi pewujudan Borneo Cultural and Heritage Corner (BCHC) pada Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026.

BCHC yang diwujudkan menerusi Penerbit UMS itu menghimpunkan pelbagai aspek budaya dan warisan Borneo melalui bahan bacaan, penerbitan serta aktiviti berkaitan, sekali gus menjadi platform memperkenalkan khazanah berkenaan kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata buku memainkan peranan penting dalam memastikan kebudayaan, bahasa dan tradisi etnik di Borneo terus didokumentasikan serta diwariskan kepada generasi akan datang.

“Budaya dan warisan Borneo sebenarnya mempunyai pertalian yang sangat erat dengan buku. Dalam sesebuah buku itu tersimpan pelbagai ilmu, pemikiran, pengalaman dan sejarah masyarakat kita,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Sapawi pada majlis perasmian BCHC di PBAKK 2026, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah KLF, Datuk Philip Lasimbang; Pengarah IPG Kampus Kent, Dr. Norafidah Noralidi serta Pengarah Penerbit UMS, Profesor Dr. Patricia Matanjun.

Antara pengisian utama BCHC ialah pelancaran 25 buku kanak-kanak dalam Bahasa Kadazandusun hasil kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran dan Kadazandusun Language Foundation (KLF).

Penerbitan buku berkenaan membabitkan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun IPG Kampus Kent dengan bimbingan para pensyarah.

Menurut Kasim, kerjasama strategik antara universiti dengan pelbagai organisasi berkaitan budaya dan warisan perlu diteruskan bagi memperkukuh usaha pembangunan khazanah negeri.

Beliau berkata antara pihak yang terlibat termasuk Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), KLF, Jabatan Muzium Sabah, Persatuan Rumpun Bajau Samah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Kolaborasi murni seperti ini wajar diteruskan demi melonjakkan lagi pembangunan khazanah negeri, seiring dengan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

Majlis perasmian BCHC disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Joseph Pairin Kitingan.

PBAKK 2026 berlangsung selama lima hari dari 23 hingga 27 September di Sabah International Convention Centre (SICC).