Sabah tingkatkan bantuan kepada institusi agama bukan Islam, sekolah Cina dan persendirian kepada RM90 juta

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meningkatkan peruntukan bantuan kepada institusi agama bukan Islam serta sekolah Cina dan sekolah persendirian kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM70 juta pada tahun lalu.

Timbalan Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus diberi perhatian tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

Beliau berkata, bantuan berkenaan melibatkan institusi agama bukan Islam termasuk gereja dan tokong, selain sekolah Cina serta sekolah persendirian.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap peruntukan tersebut dapat terus ditingkatkan pada masa akan datang sekiranya kedudukan kewangan negeri mengizinkan.

“Kalau kedudukan kewangan kita mengizinkan, kita akan terus menambah bantuan kepada penerima-penerima ini.

“Kita di Sabah seperti mana yang telah dinyatakan oleh yang amat berhormat Ketua Menteri dalam perutusannya ialah kita mengamalkan cara hidup yang terbuka dan adil kepada semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis penyerahan bantuan keeangan kerajaan Sabah kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan islam negeri Sabah di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Masidi (belakang, tengah) ketika bergambar kenangan bersama para penerima bantuan kewangan Kerajaan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Masidi berkata, pemberian bantuan itu turut menjadi pengiktirafan terhadap realiti masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Tambahnya, perbezaan agama, bahasa dan latar belakang bukan penghalang kepada keharmonian, sebaliknya sikap saling menghormati perlu terus menjadi amalan masyarakat.

Katanya, kepelbagaian tersebut harus dilihat sebagai satu aset yang menyatukan rakyat Sabah, bukannya alasan untuk mewujudkan perbezaan antara satu sama lain.