Program 2ndPAPER SEMAI perkasa pendidikan STEM inklusif dalam kalangan murid berkeperluan khas

KOTA KINABALU: Program 2ndPAPER SustainabilityEducation Through Eco-Pots Making and AgriculturalInitiatives (SEMAI) anjuran pelajar Tahun Tiga, Kursus FD31303 Transformasi Pelancongan, Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS), menjadi platform memperluas pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara inklusif dalam kalangan Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Program yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Putatan (SKPKT) itu merupakan antara program terpilih di bawah siri program STI100³ tahun 2026, anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penyelaras kursus, Ts. Dr. Rosmalina Abdul Rashid berkata, program itu memberi peluang kepada 22 pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di bilik kuliah menerusi aktiviti pembangunan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasaran.

Beliau berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan bukan sahaja membantu pelajar membentuk kemahiran sebagai agen perubahan masyarakat, malah membuka peluang kepada MBK meneroka bidang STEM melalui aktiviti yang menyeronokkan, praktikal dan mudah difahami.

“Program ini turut mencerminkan usaha memperluas aksespendidikan STEM kepada semua lapisan masyarakat, termasuk murid yang mempunyai keperluan pembelajaran berbeza,” katanya.

SEMAI dilaksanakan menerusi tiga modul utama yang menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, kreativiti dan pertanian.

Modul pertama, SEMAI Kreatif yang berlangsung pada 12 Oktober lepas, melibatkan 70 MBK bersama tiga guru dengan memberi pendedahan kepada peserta mengenai proses kitar semula kertas untuk menghasilkan pasu mesra alam (eco-pots) bagi kegunaan aktiviti penanaman.

Menerusi aktiviti itu, murid berpeluang mempelajari proses mengubah bahan terpakai menjadi produk yang boleh dimanfaatkan semula, sekali gus memupuk kesedaran terhadap kepentingan amalan kitar semula dan pemeliharaan alam sekitar.

Modul kedua, SEMAI Harapan yang dilaksanakan pada 19 Oktober lepas dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Putatan, pula memberi tumpuan kepada aktiviti penyemaian biji benih menggunakan eco-pots yang dihasilkan dalam modul pertama.

Aktiviti itu turut mendapat bimbingan dua pegawai pertanian yang memberikan penerangan mengenai medium tanaman dan kaedah penyemaian sebelum peserta menjalankan aktiviti menanam biji benih kangkung dan sawi.

Pemilihan kedua-dua jenis tanaman itu membolehkan murid memerhati proses percambahan dan pertumbuhan tanaman secara berterusan, selain memahami konsep STEM melalui aktiviti pemerhatian, pengujian dan pembelajaran secara praktikal.

Program itu diteruskan menerusi modul ketiga, SEMAI yang dijadualkan berlangsung hari ini (23 November 2026), dengan memberi tumpuan kepada pemantauan perkembangan tanaman serta penilaian hasil pembelajaran peserta sepanjang program.

Rosmalina berkata, pihaknya berharap pelaksanaan SEMAI dapat meningkatkan minat MBK terhadap bidang STEM, selain memupuk nilai tanggungjawab, keyakinan diri dan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar sejak usia muda.

“Walaupun dilaksanakan dalam skala kecil, program ini membuktikan bahawa pendidikan STEM boleh disampaikan secara berkesan kepada semua murid melalui pendekatan kreatif, inklusif dan dekat dengan kehidupan seharian,” tambahnya.