Sabah dijangka terima baki pemberian interim RM900 juta sebelum DUN bersidang – Masidi

KOTA KINABALU: Sabah dijangka menerima baki pemberian interim sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual bermula 4 Disember depan, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata, perkara itu susulan jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi panggilan telefon kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Perdana Menteri telah menelefon Ketua Menteri untuk menyampaikan pesan kepada saya bahawa beliau akan pastikan peruntukan tambahan RM900 juta itu diterima sebelum dewan bersidang,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Bayaran RM900 juta itu merupakan baki daripada keseluruhan pemberian interim berjumlah RM1.5 bilion bagi tahun 2026, selepas RM600 juta disalurkan kepada kerajaan negeri pada 12 Jun lalu.

Pemberian interim berkenaan merupakan langkah sementara menunggu rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini dimuktamadkan.

Menurut Masidi, penerimaan baki pembayaran itu akan membantu kedudukan kewangan negeri, selain membolehkan kerajaan membuat keputusan dengan lebih cepat berhubung perkara yang memerlukan tindakan segera.

Dalam pada itu, beliau berkata, persediaan bagi pembentangan Belanjawan Sabah 2027 sedang giat dilaksanakan dengan penelitian terhadap setiap cadangan perbelanjaan berdasarkan keutamaan kerajaan negeri.

“Kita mahu persediaan ini dibuat secara teliti agar kita dapat membentangkan belanjawan yang betul-betul mencerminkan keutamaan kita dalam membuat perbelanjaan,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun perbelanjaan besar diperlukan bagi menangani masalah infrastruktur asas, kerajaan negeri tetap memberi penekanan terhadap aspek kehematan dan keberkesanan penggunaan dana awam.

Justeru, setiap cadangan peruntukan perlu diteliti bagi memastikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara berhemat, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri.