Kontraktor tempatan perlu tingkat kemahiran, rebut peluang O&G – Masidi

PENAMPANG: Kontraktor tempatan perlu meningkatkan kemahiran serta keupayaan teknikal bagi membolehkan mereka merebut peluang kontrak bernilai tinggi dalam industri minyak dan gas (O&G) di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata, sektor O&G mempunyai potensi besar dalam menawarkan pelbagai peluang kontrak dan pekerjaan bernilai tinggi kepada pemain industri tempatan.

“Kontraktor tempatan perlu melengkapkan diri dari segi teknikal, meningkatkan kemahiran dan keupayaan supaya mampu bersaing serta mendapatkan projek dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sabah Kali Ke-27 di Majulan Hotel, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, terdapat banyak peluang kontrak yang ditawarkan syarikat minyak dan gas antarabangsa serta tempatan yang beroperasi di Sabah, namun kontraktor tempatan perlu memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan industri berkenaan.

Masidi berkata, peningkatan keupayaan kontraktor tempatan penting bagi memastikan lebih banyak manfaat daripada perkembangan industri O&G dapat dinikmati pemain industri tempatan.

Katanya, keupayaan kontraktor tempatan untuk memenuhi keperluan industri bukan sahaja membuka peluang mendapatkan lebih banyak projek, malah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

Beliau turut menggesa kontraktor tempatan supaya mengambil peluang yang tersedia dengan memperkukuh kompetensi, kemahiran teknikal dan keupayaan masing-masing agar lebih berdaya saing dalam industri O&G.